dicedok dari http://www.halimislam.com
ISLAM telah membuka mata anak muda
kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat ini yang suatu masa
dahulu terlibat dengan penjualan dadah di jalanan sebelum beralih ke
dunia hiburan hip hop.
Dua mimpi yang menjadi igauan
sepanjang hidup bergelumang dengan dosa itu akui Jason Perez ialah dia
pasti akan meringkuk dalam penjara ketika usianya mencecah 21 tahun.
Manakala mimpi keduanya pula
ialah walau bagaimanapun dia cuba mengelak semua itu daripada berlaku,
dia tetap akan berkesudahan dengan kematian.
Rupa-rupanya, kedua-dua mimpi
ngeri Jason itu ternyata benar. Uniknya, Jason kini bernafas semula
dengan nama Islamnya, Jason Hamza Perez.
Jason Hamza Perez berusaha membantu mereka yang hidup di jalanan kembali kepada jalan kebenaran.
"Saya tidak tahu tentang nafsu.
Islam menyedarkan saya bahawa di jalanan anda selalu mencari musuh.
Namun, dalam Islam ia mengajar saya bahawa dalam rangka untuk menemukan
musuh saya, saya harus melihat diri di cermin terlebih dahulu.
Hakikatnya, musuh saya adalah diri saya sendiri iaitu nafsu saya," akui
Hamza.
Tayangan dokumentari bertajuk, The New Muslim Cool
yang pernah menjadi isu hangat rakyat Amerika Syarikat suatu ketika
dahulu, sedikit sebanyak mengandungi pengalaman hijrah akidah dan
kerohanian Hamza sebaik bergelar Muslim. Dokumentari itu turut
menyelitkan pandangannya yang berketurunan Puerto Rico tentang agama.
Kini, Hamza telah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia muzik dan hip hop yang suatu masa dahulu digilainya.
Menurut Hamza, dia mengambil
keputusan muktamad itu dengan alasan memberikan lebih tumpuan kepada
keluarga, membantu mengukuhkan fungsi masjid dan melaksanakan
kerja-kerja kemasyarakatan secara profesional.
Malah isteri Hamza, Jennifer
Maytorena Taylor merupakan generasi keempat Muslim keturunan Afrika di
Amerika Syarikat, yang juga pengarah dan penerbit dokumentari, The New Muslim Cool.
Hamza membentuk sebuah komuniti
yang terdiri daripada orang keturunan Latin dan Afrika-Amerika yang
mana akhirnya ia berpindah dari Massachusetts ke Pittsburgh.
Dia menjadi begitu aktif dengan
anggota komuniti tersebut sehingga sanggup bekerja keras demi membantu
insan-insan yang terlibat dengan penagihan dadah keluar daripada
kehidupan di jalanan.
Akhirnya, dia berakhir di
penjara sebagaimana yang sering dimimpikan sebelum ini. Ironinya bukan
sebagai rakan satu sel tetapi sebenarnya Hamza menjadi guru agama atau
pendakwah di Penjara Allegheny County.
Berkongsi cerita bagaimana dia
boleh bertukar menjadi seorang Muslim akui Hamza, dia mempunyai seorang
teman bernama Louie Ekuador. Mereka membesar bersama dan kemudian
sama-sama juga terlibat dalam penjualan dadah.
"Saya mencari kebahagiaan
sebagai orang muda, tetapi saya tidak pernah menemuinya. Saya mencuba
kehidupan jalanan dan dadah, tapi itu hanya membuat saya menjadi lebih
tertekan.
"Biarpun kami berjaya
mengumpulkan wang yang banyak, sayangnya ia tidak memberi apa-apa
kepuasan, jauh sekali kebahagiaan. Suatu hari, sedang kami duduk
melepak, kami didatangi oleh seorang Muslim. Dia mula bercerita tentang
Islam. Akhirnya kawan saya itu menjadi Muslim," ceritanya.
Kebetulan pula, rumah kediaman
Hamza berhadapan dengan sebuah masjid. Cuma dia tidak pernah tahu
tentang Islam dan ajarannya. Satu-satunya perkara yang dia tahu
mengenai Islam ialah mereka membunuh kambing.
"Jadi, dalam masyarakat, masjid
mereka lebih dikenali sebagai tempat di mana kambing dibunuh. Memang
benar, saya rapat dengan bangunan itu tetapi tidak benar-benar tahu
tentang apa yang terjadi di dalamnya. Kawan saya, Louise akhirnya
memeluk Islam dan menghilang diri selama 40 hari. Khabarnya, dia pergi
dengan Jemaah Tabligh menyebarkan Islam.
"Namanya pun sudah berubah
menjadi Luqman. Suatu hari Luqman datang berpakaian serba putih dengan
seorang syeikh bernama Iqbal. Pada masa itu saya dan beberapa teman
jalanan sedang bermain dadu, minum, dan merokok. Saya terpegun melihat
Louise, wajahnya kelihatan bercahaya. Saya boleh melihat perubahan
dalam dirinya.
"Jadi, saya terus meninggalkan
yang lain. Saat itu, syeikh ada bertanyakan sama ada saya percaya akan
Allah yang Esa dan Nabi Muhammad. Saya tahu tentang Allah tetapi tidak
tentang Muhammad. Melihat perubahan pada Louise, tanpa ragu-ragu dan
teragak-agak, saya minta diajar mengucapkan dua kalimah syahadah, di
tepi jalan itu juga. Adik saya yang menyaksikan insiden itu juga, ikut
bersyahadah," katanya.
Terang Hamza lagi, berita
pengislaman itu diterima sedih oleh keluarganya. Pun begitu, apabila
mendapati dengan cara itu dia adik beradik bebas daripada dadah dan
kegiatan berbahaya, ibu bapa mereka merestuinya.
"Ibu saya sangat menyokong
kerana saya berubah menjadi seorang anak yang memberatkan ibu, membantu
dalam urusan keluarga dan melakukan apa sahaja yang dimintanya.
"Dulu sebelum menjadi Muslim,
saya tidak pernah ambil kisah tentang ibu. Perubahan dalam diri saya
turut menarik kakak saya untuk bergelar Muslim. Kemudian, salah seorang
rakan saya ikut jejak. Akhirnya, lebih daripada 55 orang kenalan saya
memeluk Islam," jelasnya.
Langkah seterusnya yang diusahakan Hamza ialah kembali ke tempat di mana mereka menjual dadah dan memasang papan tanda bertanda Heroin membunuh kamu dan Allah menyelamatkan anda!
Hasilnya, ramai daripada mereka terpengaruh.
Ditanya masalah yang dihadapi
sebagai Muslim jelas Hamza pada peringkat awalnya, dia bagai hilang
arah kerana beranggapan terpaksa menurut apa yang diperkatakan oleh
Muslim lain.
"Saya jadi keliru apabila ada
beberapa orang Muslim, mengajar saya untuk melihat Muslim lain dan
mengkritik umat Islam lain. Antaranya dalam aspek penampilan seperti
Muslim yang berjanggut panjang dan 'pakaian aneh' mereka.
"Sampai satu peringkat,
perbuatan mengkritik orang menjadi lebih kerap sementara mengingat
Allah menjadi sedikit. Saya mulai rasa kehilangan nikmat kemanisan yang
dialami ketika pertama kali menjadi Muslim.
Namun, saya lakukan transformasi besar bersandarkan pernyataan, hanya melihat kesalahan diri, bukan kesalahan orang," katanya
link asal article http://www.halimislam.com/2012/03/tinggal-dunia-glamor-demi-islam.html
No comments:
Post a Comment