Thursday, April 7, 2011

Mari kita fikirkan.

Dah lama tak update blog ni. Bz maa.. Hari ini kita review satu artikel dari akhbar berbahasa cina. Menarik gak artikel ni, fakta yg memang tak boleh dipertikai lagi..

DASAR KERAJAAN PERLU BERKESAN
Akhbar Sin Chew Daily terbitan 14 Mac 2011 menerusi tulisan Timbalan Editornya, Tay Ting Hien memaparkan artikel mengenai pelbagai program yang dilancar kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah.
Berikut adalah artikel yang ditulis beliau bertajuk ‘Lebih baik dipraktikkan daripada hanya berniat baik’ yang disiarkan dalam ruangan Sudut Pendapat di halaman 28.
Skim Rumah Pertamaku telah dilancarkan baru-baru ini. Menerusi program itu, warganegara berumur 35 tahun ke bawah yang berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan, boleh membuat pinjaman 100 peratus bagi membeli rumah tidak melebihi RM220,000.
Seterusnya, Presiden MIC, Datuk G. Palanivel turut mengumumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang bekerjasama dengan parti itu untuk menggalakkan kaum India berpendapatan rendah di bandar kembali ke ladang-ladang.
Langkah itu, adalah supaya kaum India dapat keluar dari kawasan rumah setinggan yang sesak dan kotor serta menghindari mereka daripada terlibat dengan kegiatan jenayah.
Memang benar dasar kerajaan itu berniat baik dan ia membuktikan bahawa golongan berpendapatan rendah tidak dilupakan. Tetapi dasar yang berniat baik itu, tidak semestinya berkesan untuk menangani segala permasalahan yang dialami kerana penggubal polisi berkenaan tidak memahami masalah yang dihadapi golongan itu.
Cuba kita gunakan kaedah matematik yang termudah sekali. Seorang pemuda bernama Khadafi berusia 30 tahun dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000. Jika membeli rumah berharga RM200,000 di bawah Skim Rumah Pertamaku, dia perlu membayar ansuran bulanan RM1,200 sepanjang 25 tahun (sehingga usia pencen).
Selepas bayar rumah, baki duit Khadafi sebanyak RM1,800. Bayar pinjaman kenderaan RM800 sebulan, tinggal baki RM1,000 lagi. Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM330, baki wang beliau kini adalah sebanyak RM670.
Jika duit petrol kenderaan RM300 sebulan, bil api dan air, telefon dan pelbagai sebanyak RM300, maka baki akhir yang beliau peroleh adalah RM70 sebulan. Ini adalah untuk duit makan dan minum.
Angka itu hanya cukup untuk makan dan minum dalam masa dua hingga tiga hari sahaja. Jika Khadafi mahu menyara isteri dan ibu bapa beliau, mereka sekeluarga boleh telan angin dan minum air hujan untuk isi perut.
Dalam pada itu, Khadafi menghadapi masalah lebih serius jika dia tinggal di Lembah Klang, kerana rumah dengan keluasan 400 meter persegi telah menjangkau RM230,000 sebuah. Rumah yang lebih selesa turut meningkat kepada antara RM400,000 hingga RM500,000 sebuah.
Oleh itu, kenapa tidak dibina lebih banyak rumah kos sederhana yang berpatutan bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.
Sementara itu, langkah menggalakkan kaum India di bandar kembali ke ladang-ladang adalah tidak sesuai kerana mereka dijangka hanya akan mendapat pendapatan antara RM400 hingga RM500 sebulan. Kemudahan pendidikan di kawasan ladang juga serba kekurangan.
Sehubungan itu, kerajaan sepatutnya meningkatkan kemudahan asas di ladang-ladang dan memastikan pendapatan ditingkatkan kepada RM800 sebulan.
Dasar-dasar kerajaan yang berniat baik perlu memberi kesan yang praktikal, barulah ia dapat memberi manfaat kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment